Ahad, 11 Oktober 2009

ISU SEBATAN : NGO ISLAM VS JAG, SIS

Isu Sebatan: NGO Islam vs JAG, SIS
KENYATAAN MEDIA
2 OKTOBER 2009
BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO) ISLAM
NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

"JANGAN BIADAB! HORMATI KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH KUANTAN"

PERNYATAAN PENDIRIAN

Kami NGO Islam di Negeri Pahang membantah sekeras-kerasnya kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Joint Action Group for Gender Equality (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) yang meminta untuk membatalkan hukuman sebatan syarie terhadap Puan Kartika Dewi binti Shukarno. Kami juga menyokong sepenuhnya hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan di Negeri Pahang. Kami menyokong sepenuhnya sikap dan pendirian Puan Kartika Dewi binti Shukarno dan keluarganya berhubung dengan kerelaannya menerima hukuman yang bakal dilaksanakan.

PREMIS

* Kesalahan meminum arak yang telah disabitkan terhadap Puan Kartika Dewi binti Shukarno dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya ialah denda RM 5,000.00 dan 6 sebatan syariah.

* Hukuman tersebut adalah berdasarkan kepada Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang telah diperkenankan oleh KDYMM Sultan Pahang dan terpakai ke atas setiap orang Islam di Negeri Pahang.

* Wujud pihak tertentu dengan sengaja cuba untuk menimbulkan kesangsian terhadap keadilan Mahkamah Syariah yang berfungsi dalam menguatkuasakan Perundangan Syariah di Negeri Pahang.

* Wujud dakwaan kononnya perlaksanaan hukuman syariah terutamanya sebatan terhadap wanita boleh menjejaskan imej negara dan menghalang kemasukan pelaburan asing ke dalam negara.

* Wujud usaha yang berterusan untuk memburukkan imej perundangan syariah di Malaysia dengan menggunakan takrifan kebebasan individu di dalam Perlembagaan Persekutuan secara sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat.

* Timbul pemikiran yang menyeleweng bagi tujuan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam terhadap perundangan syariah dan penyelewengan tersebut sedang diusahakan untuk disebarkan ke dalam masyarakat.

Maka dengan ini kami:

1. Menuntut Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters in Islam (SIS) menarik balik kenyataan yang mengatakan hukuman sebaran syarie adalah kejam.

2. Menuntut JAG dan SIS meminta maaf secara terbuka kepada semua Umat Islam kerana menghina hukum Islam dan Mahkamah Syariah yang menjalankan perlaksanaan perundangan Syariah.

3. Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang telah diperkenankan oleh KDYMM Sultan Pahang. Menghina Undang-Undang Syariah adalah bererti menghina KDYMM Sultan Pahang sendiri.

4. Menuntut agar penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam.

5. Mendesak agar kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan Syariah yang telah dijamin kedudukannya di dalam perlembagaan negara.

6. Meminta semua pihak menghormati segala keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan berhenti dari membuat kenyataan yang provokatif berkaitan dengan kes Kartika Dewi binti Shukarno.

7. Meyanjung tinggi kerelaan dan persetujuan Kartika Dewi binti Shukarno untuk menerima hukuman tersebut di atas kesedarannya dan keinsafannya, yang mana ini boleh mengangkat maruah dan martabat beliau sendiri di sisi Islam.

Maka dengan ini kami NGO Islam di Negeri Pahang menyokong sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan perlaksanaan hukumannya sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Oleh :
1. Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Pahang – ABIM
2. Peguam-Peguam Syarie Negeri Pahang
3. Jemaah Islah Malaysia Negeri Pahang – JIM
4. Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) Pahang
5. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Negeri Pahang
6. Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Negeri Pahang
7. PEKIDA Negeri Pahang
8. Badan Nadwah Islamiah Pahang – NADWAH
9. Wadah Pencerdasan Ummah Negeri Pahang – WADAH
10. Ikatan Pengajian Islam Pahang
11. Majlis Kebajikan India Muslim Pahang – MKIMP
12. Persatuan Melayu Kuantan
13. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Negeri Pahang – PERKIM
14. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Negeri Pahang – PKPIM

Sumber:
Utusan Malaysia Online (3 Oktober 2009)
Facebook

Berikut pula adalah ulasan saudara Nasir Desa dari Pejabat Peguam Negara (melalui emel kolejislam@yahoogroups.com):

"Dalam menghadapi Isu Sebatan Kartika, sedar atau tidak, kumpulan-kumpulan NGO bukan Islam dan SIS yang bergabung dalam JAG- Joint Action Group for Gender Equality telah mendesak Kerajaan menghapuskan undang-undang kesalahan jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa melalui memorandum mereka kepada pada PM pada awal Ramadhan lalu. Desakan itu diulangi lagi melalui kenyataan akhbar bersama yang disiarkan dalam The Star bertarikh 1 Oktober. Tuntutan Biadap JAG dan SIS itu sangatlah besar implikasinya terhadap umat Islam di Malaysia.

Beberapa NGO Islam termasuk ALKIS, PGSM, Peguam Muslim, JIM dan ABIM telah mengadakan perbincangan secara mengejut pada 1 Oktober lalu dan telah membuat kenyataan akhbar.

Kenyataan akhbar juga dibuat oleh beberapa NGO di peringkat Negeri. Namun fokus mereka hanyalah kepada isu sebat, sedangkan JAG SIS dan NGO lain sudah membuat desakan yang jauh lebih serius, iaitu hapuskan undang-undang kesalahan jenayah Syariah.

Pemikiran SIS dan JAG serta golongan yang sealiran dengan mereka ini perlu dibendung. Namun begitu media terlalu berpihak kepada mereka. Lihat saja tulisan Zainah Anwar dalam the Star hari ini.

Kita bercadang untuk mengadakan bantahan yang lebih besar dan melibat lebih banyak NGO dan umat Islam. Saya pohon kerjasama sahabat-sahabat sekelian untuk menyebar luas kepada seramai mungkin umat Islam mengenai desakan biadap JAG dan SIS ini supaya umat Islam lebih kenal siapa sebenarnya mereka ini. Bagi para pendidik, para pensayarah dan ahli akademik serta semua bijak pandai ALKIS (Alumni Kolej Islam) perlu ke medan untuk mengahadapi aliran pemikiran bahaya SIS dan yang sealiran dengan mereka ini. Kita perlu ambil seruan PM supaya diperhebatkan kembali proses TARBIAH di kalangan umat Islam bagi membendung gejala keruntuhan moral yang sedang berleluasa ini.

Pentadbir sekolah atau universiti yang masih enggan membenarkan usaha-usaha tarbiah di kalangan pelajar dan siswa-siswi Islam sebanarnya melanggar arahan PM. PM dalam kenyataannya pada awal Ramadhan yang lalu telah meminta supaya pendekatan tarbiah digunakan untuk mengatasi masalah akhlak umat Islam".

Tiada ulasan: