Selasa, 21 Julai 2009

J-QAF Terbukti Lahirkan Ramai Pelajar Celik Al-Quran

IQRA’… Sebahagian daripada para peserta khatam Al-Quran khusyuk membaca kitab suci itu pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 Tahun 2007 dan perasmikan Makmal j-QAF di Sekolah Kebangsaan Padang Garong 2, Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab di Kota Baharu. Foto: Zahari Razak

KOTA BAHARU, 25 Sept (Bernama) -- Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) yang dimulakan Kementerian Pelajaran tiga tahun lalu berjaya mencapai matlamatnya dengan lebih lebih ramai pelajar kini "celik al-Quran" dan mampu khatam al-Quran sebelum tamat sekolah rendah.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain mampu membaca al-Quran dengan baik, pelajar juga sudah boleh menguasai asas-asas Bahasa Arab, tulisan dan bacaan Jawi dengan baik.

"Secara keseluruhannya program j-QAF ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik di kalangan ibu bapa Islam dan sedikit sebanyak mampu menjadi daya tarikan kepada mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis perasmian Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-2 dan perasmian Makmal j-QAF di Sekolah Kebangsaan Padang Garong 2, Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Hishammuddin berkata kini 3,703 buah sekolah menawarkan program j-QAF manakala guru yang terbabit ialah 10,985 orang dan murid yang mendapat manfaat daripadanya kini mencecah 644,419 orang.

Katanya kementerian akan menggunakan sebaik mungkin peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan berjumlah RM222.4 juta bagi menambah, mengganti, mengubah dan menaik taraf kelas berkaitan j-QAF.

Selain itu, katanya kementerian merancang untuk mengadakan makmal j-QAF di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan lebih sempurna dan selesa.

"Makmal j-QAF akan dilengkapi dengan alat pandang dengar serta bahan bantu mengajar yang akan menjadikan pembelajaran lebih kondusif, interaktif dan yang paling penting berkesan dan menyeronokkan," katanya.

Katanya pendedahan awal terhadap pengetahuan al-Quran dan Fardu Ain yang selari dengan pendekatan Islam Hadhari akan membolehkan kerajaan melahirkan generasi yang seimbang peribadi dan akhlaknya dan mengamalkan asas-asas ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

Pada majlis itu seramai 2,560 pelajar khatam al-Quran berbanding seramai 1,800 pelajar pada tahun lalu.

-- BERNAMA

http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=286824

Tiada ulasan: