Rabu, 22 Julai 2009

jQAF : KEMENTERIAN CARI GRADUAN MESIR


KEMENTERIAN Pelajaran ke Mesir untuk mendapatkan calon-calon guru bagi Program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-Qaf).

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Datuk Abdullah Abdul Kadir berkata, calon-calon yang akan dipilih merupakan pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di negara berkenaan.

``Beberapa pegawai kita akan ke Mesir bagi memberi penjelasan mengenai kriteria yang tepat untuk pemilihan guru-guru j-Qaf,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
ABDULLAH ABDUL KADIR



Menurut beliau, tumpuan akan diberikan kepada pelajar yang berminat untuk menjadi guru bahasa Arab dan Al-Quran.

Pemilihan pelajar di Mesir perlu dilakukan memandangkan pelajar tempatan tidak mempunyai penguasaan yang tinggi dalam bahasa Arab dan Al-Quran.

``Daripada ujian yang kita lakukan kebanyakan graduan tempatan yang memohon walaupun mempunyai kemahiran dalam bahasa Arab tetapi tidak mampu menulis dengan baik malah ada yang menjawab menggunakan bahasa Melayu,'' katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, kementerian tetap menawarkan jawatan guru-guru j-Qaf kepada graduan tempatan tetapi dalam pengkhususan yang lain.

Menurut beliau, calon guru daripada pelajar luar negara perlu dilakukan memandangkan kerajaan memerlukan khidmat kira-kira 3,000 guru setahun bagi mengendalikan kelas j-Qaf.

Pengambilan pertama guru j-Qaf telah pun dibuat pada awal Januari lalu berjumlah 3,663 orang bagi 1,221 sekolah di seluruh negara.

Ini susulan fasa pertama projek rintis bermula 24 April tahun lalu melibatkan 30 buah sekolah seluruh negara manakala fasa kedua melibatkan dua buah sekolah di Wilayah Persekutuan.

Program j-Qaf di sekolah rendah seluruh negara merupakan pendekatan baru dalam menerapkan pengetahuan Islam melalui jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.

Ia juga bertujuan memperkasa Pendidikan Islam melalui menggunakan kurikulum, model dan modulnya yang tersendiri.

Guru-guru dilatih khusus bagi tujuan pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengkayaan dan penghayatan murid.

Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.

Model-model j-Qaf yang dilaksanakan adalah Model Kelas Pemulihan Jawi, Model Enam Bulan Khatam al-Quran, Model Tasmik Khatam al-Quran, Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi dan Model Bestari Solat.

Model-Model tersebut mempunyai kurikulum dan modul yang disediakan oleh pihak Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim) Kementerian Pelajaran.

Tiada ulasan: