Rabu, 22 Julai 2009

KURSUS KHAS GURU BAHASA ARAB

Kursus khas guru Bahasa Arab
Bulan lalu satu memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelajaran Oman telah berlangsung dengan jayanya di negara teluk tersebut.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Hussein dan rakan sejawatannya dari Oman. Ia disaksikan beberapa orang pegawai tinggi kementerian berkenaan daripada kedua-dua negara.

Antara MoU tersebut adalah perjanjian usahasama antara kedua negara dalam meninggikan mutu pendidikan di negara masing-masing. Negara yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu akan membantu negara lain yang tidak memiliki kepakaran tersebut.

Dalam hal ini, Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan dan pentadbiran dalam bidang pendidikan akan membantu Oman semaksimum mungkin. Bagi Oman pula, mereka akan membantu Malaysia dalam meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar Malaysia.

Perjanjian antara kedua-dua pihak ini dijangka memberikan pulangan yang berlipat kali ganda kepada kedua-dua pihak. Memang tidak dinafikan juga, perjanjian serupa ini memang ditunggu-tunggu oleh warga pendidik terutamanya guru dan pelajar yang mengikuti kelas Bahasa Arab.

Sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan yang tersenarai dalam Directory of Expert KPM dalam bidang Bahasa Arab sejak 2007, penulis teruja menyatakan pandangan. Ia boleh dianggap sebagai pendapat dalam meningkatkan lagi mutu Bahasa Arab di kalangan guru sekolah dan para pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Secara umumnya, tahap penguasaan Bahasa Arab di kalangan guru dan pensyarah IPG berada di tahap yang baik. Walau bagaimanapun, masih banyak yang perlu ditingkatkan jika kita ingin melihat kualiti guru dan pensyarah Bahasa Arab mencapai tahap yang dibanggakan seperti yang diuar-uarkan bertaraf dunia.

Antara kepakaran Bahasa Arab yang ditagih daripada Oman ialah kepakaran dalam ilmu-ilmu berkaitan Bahasa Arab dan ilmu pedagogi yang paling sesuai digunakan dalam membantu para pelajar Malaysia belajar dan menguasai bahasa tersebut.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah menghantar guru-guru Bahasa Arab mengikuti kursus jangka pendek selama sebulan, tiga bulan, enam bulan, sembilan bulan dan setahun di sana. Guru yang memerlukan kursus tersebut ialah guru j-QAF (jawi-Quran-Arab- Fardu Ain) di sekolah rendah, guru sekolah menengah dan pensyarah IPG.

Dalam hal ini, fokus harus ditumpukan kepada guru-guru j-QAF kerana mereka yang mengajar pelajar tahun 1 hingga tahun 6. Mereka bertanggungjawab mengajar asas-asas bahasa al-Quran ini kepada para pelajar yang baru mula belajar.

Walau bagaimanapun, sebelum menghantar guru-guru j-QAF ke sana, ada baiknya para pensyarah Bahasa Arab di IPG dihantar terlebih dahulu. Ini kerana mereka adalah yang bertanggungjawab mengajar guru-guru j-QAF. Setakat ini, sebaik sahaja guru-guru j-QAF mendaftar di IPG pada Januari mereka dihantar ke sekolah-sekolah rendah di seluruh negara pada minggu ketiga. Mereka akan mengikuti kelas di IPG pada musim cuti semester. Tempoh pengajian mereka adalah selama setahun setengah.

Dengan kata lain, warga pendidik sangat mengalu-alukan penghantaran tenaga pengajar Bahasa Arab ke sana. Kaedah pemilihan penghantaran mungkin boleh diperhalusi dengan mengambil kira pelbagai aspek sama ada soal kewangan dan mutu hasilnya nanti berbaloi dengan kos yang dikeluarkan.

Pelbagai cara mungkin boleh dilaksanakan. Antaranya, menghantar para pensyarah IPG dahulu dan diikuti oleh guru j-QAF di sekolah rendah dan guru di sekolah menengah. Cara yang lain pula ialah menghantar wakil ketiga-tiga tenaga pengajar tersebut secara berperingkat-peringkat.

Contohnya kumpulan pertama terdiri daripada 27 pensyarah IPG (setiap IPG seorang wakil), 14 guru j-QAF dan 14 guru sekolah menengah (setiap negeri seorang wakil).

Kumpulan kedua dan seterusnya akan menyusul kemudian. Ini bererti, setiap pensyarah dan guru yang layak berpeluang mengikuti kursus tersebut mengikut giliran masing-masing. Kaedah ini sebenarnya telah lama dipraktikkan oleh pihak kementerian sendiri dalam penghantaran guru-guru Bahasa Perancis ke negara Eropah tersebut mengikut giliran. Oleh itu, kaedah sama mungkin boleh dipraktikkan untuk program Bahasa Arab.

Impak
Berdasarkan pengalaman penulis, kursus pendek anjuran negara Arab biasanya memberi impak yang besar terhadap mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Sebagai contoh, penulis pernah mengikuti kursus guru pakar Bahasa Arab anjuran bersama ISESCO, United Nation dan KPM pada 1 hingga 25 Julai 1992. Ketika itu penulis baru berkhidmat dua bulan di SMK Agama Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.

Walaupun kursus itu hanya 25 hari tetapi kesannya cukup mendalam bagi penulis. Kursus tersebut dikendalikan oleh tiga orang pakar pendidikan Bahasa Arab dalam bidang masing-masing.

Mereka berpengalaman luas mengajar bukan Arab di pelbagai negara sama ada di Afrika, Eropah mahupun di Asia. Dalam kursus tersebut, peserta didedahkan kepada pelbagai teknik mudah untuk belajar dan mengajar bahasa tersebut.

Berkat tunjuk ajar daripada para pengendali kursus yang bertaraf profesor itu, kini penulis yakin bahawa Bahasa Arab tidaklah sesukar seperti yang digembar-gemburkan. Bahasa Arab bukan sahaja senang, malah ia adalah bahasa paling senang dipelajari dan paling mudah diajarkan.

Untuk itu, seseorang yang ingin belajar dengan mudah perlu mengikuti kursus teknik mudah belajar. Bagi guru yang ingin mengajar dengan berkesan perlu menyertai kursus teknik mudah mengajar berkesan.

Dalam hal ini, jika pihak kementerian sanggup memberi peruntukan menghantar para guru ke sana, maka para guru yang dihantar juga perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dan dapat membalasnya dengan hasil inovasi sesuai dengan kos yang dibelanjakan.

Dengan kata lain, guru yang yang dihantar ke luar negara bukanlah yang terbaik tetapi bernasib baik. Mereka dihantar ke sana dengan menggunakan wang rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat. Sehubungan itu, ilmu dan pengalaman mereka perlu dikongsi bersama dengan rakyat yang tidak berpeluang ke sana.

Cara yang paling berkesan ialah mereka perlu mengadakan kursus kepada rakan-rakan mereka sejurus pulang dari luar negara.

Sebagai contoh yang boleh dijadikan tauladan ialah langkah pihak Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang menetapkan agar mana-mana pegawai yang ke luar negara menggunakan peruntukan kerajaan dikehendaki mengadakan kursus khas kepada mereka yang berkenaan secepat mungkin.

Ini termasuklah mesyuarat, seminar, lawatan, membentang kertas kerja dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, penulis juga tidak terkecuali. Setelah diberi peluang menyertai dan membentang kertas kerja berkaitan Kurikulum Bahasa Arab di seminar antarabangsa di luar negara, penulis perlu berkongsi pengalaman dengan mengendalikan kursus khas kepada yang terlibat.

Sehubungan itu, insya-Allah satu kursus teknik mudah belajar dan mengajar Bahasa Arab akan diadakan pada 11 hingga 14 Ogos ini di sebuah hotel di Melaka. Para peserta terdiri daripada guru-guru sekolah dan para pensyarah IPG dari seluruh negara.

Tiada ulasan: